Curi Tulang Ketika Kerja | Bekerja Mencari Rezeki Halal | Bekerja mencari rezeki halal bukan sahaja bermaksud jangan bekerja di kilang pembuatan arak, di kandang kandang babi yg jinak, bekerja sebagai pelayan yang menghidangkan arak, atau apa sahaja lah yang berada dalam kontek haram ni. Mencari rezeki yang halal juga bermaksud bekerja dengan bersungguh sungguh, walaupun tiada dalam penerangan kerja, masa dapat offer letter tu, tapi, itu la yg dikehendaki oleh majikan kita. Hendaklah kita melaksanakan kerja dengan amanah dan penuh tanggungjawab.

Sikap suka meninggalkan tugas sehingga menyusahkan orang lain adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Malah, ia juga boleh dikategorikan sebagai khianat atau ‘curi tulang’ iaitu sikap orang malas yang sentiasa mengharapkan habuan dan pertolongan orang lain.

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Dilaknat Allah sesiapa yang menyusahkan orang-orang beriman atau membuat kecoh terhadapnya.”


Golongan begini mensia-siakan amanah yang diberikan dan masa yang diperuntukkan kepadanya. Kesannya apabila kesuntukan masa orang lain yang terpaksa memberikan bantuan. Bukankah itu menyusahkan orang lain, malah jika tidak diberikan bantuan, dipersalahkan pula atas alasan tidak memberikan kerjasama. Ini mengakibatkan perselisihan, kekecohan dan kemarahan.

Pekerja curi tulang hilang keberkatan rezeki. Itu termasuk perbuatan tidak amanah lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu bekerja, mencuri masa dengan melengah-lengah kan kerja yang dipertanggungjawabkan semata-mata untuk membuat tuntutan kerja lebih masa. Rezeki yang diperolehi dengan cara ini adalah tidak halal.