Tuesday, April 28, 2020

RESIPI SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

Resipi Siput Sedut Masak Lemak

Kalau di kampung saya di Kelantan, Hidangan Siput Sedut Masak Lemak cukup popular di kawasan kampung yang mempunyai bendang (kawasan berair tempat bertanam padi) . Siput yang hidup di kawasan bendang warnanya hitam dan bentuknya bulat. Kalau di beberapa negeri lain pula, siput beliung menjadi pilihan.


Persamaan kedua jenis siput ini ialah, anda perlu memotong bahagian belakang siput untuk bolehkan isi dalam siput mudah untuk disedut keluar dari cengkerangnya . Awas, jangan tertelan alas penutup siput kerana ianya bahaya jika masuk ke dalam perut. Untuk pastikan siput bersih daripada segala kotoran, ambil daun senduduk dan ramas ketika membasuh siput. Ulang hingga bersih. Ada juga yang gunakan batang pelepah pisang atau hampas kelapa.


Bahan-bahan
  • 2 pek/2 kg siput sedut
  • 1 1/2 biji kelapa - santan
  • 1-2 batang serai - ketuk
  • 1 keping asam keping 
  • 1 helai daun kunyit
  • 1 sudu besar garam kasar 

Bahan kisar
  • 20-25 tangkai cili api kampung
  • 1 inci kunyit hidup

Step Memasak
  1. Mulakan proses dengan membasuh siput dengan menggunakan berus. Bilas 4-5 kali sehingga betul-betul bersih airnya. Selepas dah confirm bersih, rendam siput dalam air garam seketika. Tos dan potong bahagian bucu siput pada ruas ke 3 dari atas dengan menggunakan alat pemotong. 
  2. Masukkan siput yang telah siap dipotong tadi ke dalam bekas dan tuang air hingga siput tenggelam. Ambil siput dengan tangan, toskan dan masukkan ke dalam penapis. Langkah ni  adalah bertujuan untuk mengelakkan serpihan kulit siput atau benda asing terikut masuk dalam masakan kita.
  3. Masukkan bahan kisar bersama serai ke dalam kuali dan masak sehingga cili agak kering.
  4. Masukkan santan cair dan sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak.
  5. Masukkan siput yang telah dibersihkan, kacau lagi sehingga kuah mendidih dan siput masak. 
  6. Masukkan santan pekat, garam dan asam keping. Kacau menggunakan api perlahan sehingga kuah mendidih kecil dan tiada buih buih dalam kuah. 
  7. Akhir sekali, masukkan daun kunyit dan sesuaikan rasa. Kacau seketika dan tutup api. 

Tip Tambahan
  • Jika anda membeli sehari sebelum dimasak, letak siput sedut dalam baldi, kemudian taburkan hampas kelapa. Pastikan permukaan baldi ditutup dengan penapis dan tindih dengan benda berat untuk mengelakkan siput merayap keluar .
  • Untuk menghilangkan bau lumpur. Masukkan siput sedut yang telah dibilas dengan air ke dalam sebuah bekas. Selepas itu masukkan hampas kelapa. Gaul hampas kelapa pada siput sehingga rata dan meliputi kesemua siput tadi dan biarkan selama 2 jam. Basuh siput tadi sehingga bersih dan sedia untuk dipotong.
  • Sedap dihidangkan ketika kuahnya tidak terlalu panas supaya terasa kepedasannya. 

1 comment:

  1. Tips nak bersihkan siput, cuci dengan air asam jawa, nanti bersih siput tu, kerang pun sama..
    Sis kalau sepit buntut dia guna playar hehehehe

    ReplyDelete