Sunday, November 17, 2019

PENGALAMAN UMRAH PERTAMA ( MAKKAH )


Alhamdulillah, untuk artikel kali ni saya akan menyambung kisah perjalanan umrah kami ke Kota Mekah pula. Bagi korang yang belum baca kisah sebelum kami di Madinah boleh klik link di bawah.


Selesai urusan ziarah  Rasulallah S.A.W di Madinah maka tibalah masanya untuk kami bertolak ke Kota Makkah. Selepas selesai solat zohor berjemaah di Masjid Nabawi, saya sempat melakukan ziarah wida' ( ziarah selamat tinggal) kepada Rasulullah SAW dan kedua sahabat baginda.

Doa Ziarah Wida'
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagiku kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika aku mampu, Insya Allah aku datang lagi. Jika aku mati, kutitipkan pada sisiMu syahadah (kesaksianku, amanahku, perjanjianku, timbanganku) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."
Sebelum zohor lagi kami jemaah lelaki telah siap dengan pakaian ihram dan membawa turun bag untuk diletakkan di lobi hotel . Ini kerana takut kesuntukan masa selepas solat zohor. Perancangan awal tu harus ada untuk sebarang kemungkinan. Selepas selesai urusan tersebut, kami terus balik ke hotel menunggu masa untuk bertolak ke Bi'ru Ali dimana ianya merupakan lokasi kami akan berniat umrah.

APA ITU UMRAH

Sebelum saya bercerita lebih jauh, jom kita ketauhi asasnya umrah itu sendiri. Apa maksud umrah itu sebenarnya.

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.
Pengalaman umrah pertama mekah

Jarak perjalanan ke Bi'ru Ali dari Kota Madinah sekitar 11 kilometer. Bila menggunakan kendaraan seperti bas akan memakan masa sekitar 20 minit perjalanan. Sampai saja di sana, terlihat ramai jemaah mulai turun dari bas dengan pakaian lengkap ihram dan memasuki masjid Bi'ru Ali atau nama lainnya Masjid Miqat.


Selepas melaksanakan solat sunat, para jemaah berkumpul kembali di dalam bas dan mulai berniat untuk umrah wajib yang dipimpin oleh mutawwif masing-masing. Seterusnya, dilanjutkan membaca talbiyah bersama-sama. 


Lafaz niat umrah : 
نويت الحمرة وأحرمت بھا لله تعالى
" Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala."

Sebelum itu, eloklah saya kongsikan tentang perkara asas umrah yang penting untuk kita tahu. Antaranya seperti Rukun, dan Wajib 

5 RUKUN UMRAH
  1. Pertama, niat ihram umrah. Lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku menunaikan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.
  2. Kedua, tawaf umrah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad. Terdapat beberapa syarat sah tawaf seperti menutup aurat, suci daripada hadas besar dan kecil, mengekalkan niat tawaf, cukup tujuh pusingan dengan yakin dan sebagainya.
  3. Ketiga, sa’ie umrah. Sa’ie memberi maksud berjalan ulang-alik atau berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Perbuatan sa’ie juga mempunyai syarat sah seperti bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah, cukup tujuh kali ulang-alik dengan yakin, hendaklah dilakukan ditempat yang disediakan dan lain-lain lagi.
  4. Keempat, bergunting atau bercukur. Dalam rukun ini, hendaklah kita menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Disunatkan kepada jemaaah lelaki untuk bercukur. Perbuatan ini hendaklah dilakukan setelah selesai tawaf dan sa’ie umrah.
  5. Kelima dan akhir sekali, tertib. Iaitu mengerjakan rukun-rukun umrah mengikut susunan bermula daripada niat, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting.
Untuk pengetahuan semua, rukun umrah merupakan perkara asas yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan umrah. Jika TIDAK DITUNAIKAN sama ada sengaja ataupun tidak maka TIDAK SAH umrah tersebut.

WAJIB UMRAH

Wajib umrah pula mempunyai dua perkara iaitu berniat ihram di Miqat dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram. Terdapat tiga belas larangan ihram yang wajib kita ketahui antaranya dilarang membunuh binatang, dilarang merosakkan tanam-tanaman, dilarang memotong kuku dan lain-lain lagi. Nak tahu lebih lanjut boleh rujuk buku panduan umrah.

Secara ringkasnya, wajib umrah ialah perkara yang wajib dilakukan semasa menunaikan umrah. Sekiranya tidak dilaksanakan dengan sengaja, sah umrah akan tetapi berdosa. Sekiranya tidak sengaja, ianya tidak berdosa akan tetapi wajib untuk membayar dam mengikut kadar yang ditetapkan.


PERJALANAN KE TANAH HARAM

Selepas selesai berniat di miqat, kami telah meneruskan perjalanan kami menuju ke tanah haram kota Makkah. Perjalanan kami dari Madinah ke Kota Makkah dianggarkan memakan masa 6-7jam perjalanan. Memandangkan perjalanan yang panjang bakal kami tempuhi, mutawwif bertugas menyuruh jemaah memperbanyakkan talbiyah sebagai tidak mensia-siakan masa yang ada.

لَبَّيْكَ ٱللَّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ ٱلْحَمْدَ وَٱلنِّعْمَةَ لَكَ وَٱلْمُلْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah. Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan tiada sekutu apapun bagi-Mu. Sesungguhnya puji, nikmat, dan kekuasaan hanya bagi-Mu tanpa sekutu apapun bagi-Mu

Keadaan sekitar restoran tempat kami berhenti

Setelah beberapa jam perjalanan, rombongan kami telah berhenti di hentian rehat untuk makan dan solat magrib. ٱلْـحَـمْـدُ للهِ  rezeki kami kerana pihak agensi telah belanja rombongan kami makan nasi arab. Rata-rata memuji keenakan makan malam kami pada hari tersebut. Memang sedap, nak nak bila dapat makan beramai-ramai macam ni. Masa ni jugalah kami berpeluang nak kenal antara satu sama lain dengan lebih erat.

Makan malam kami

Setelah selesai makan malam, kami diberi peluang untuk bersiap dan menunaikan solat Magrib berjemaah di masjid berdekatan dengan restoran. Selesai menunaikan solat, kami terus ke bas untuk meneruskan perjalanan kami yang berbaki beberapa jam lagi.

TIBA DI TANAH HARAM MEKAH

Keadaan sekitar luar Masjidil Haram

ٱلْـحَـمْـدُ للهِ  , selepas beberapa jam perjalanan rombongan kami telah sampai di tanah haram kota Mekah. Sebelum meneruskan rukun umrah seterusnya, kami diberi masa untuk berehat seketika di bilik dan boleh menyucikan diri jika perlu. Tepat jam 11.00 pm, kami berkumpul semula di lobi hotel. Setiap jemaah diberi alat bantu dengar supaya segala bacaan dan perbuatan dari mutawwif dapat disampaikan dengan jelas .

Rakan sebilik di Royal Orchird Safwa Tower

سُـبْـحَـانَ ٱلله !! Walaupun sudah lewat malam, kami dapat lihat bertapa ramainya orang berlegar-legar disekitar luar iaitu dataran Masjidil Haram termasuklah jemaah-jemaah yang berjalan menuju ke pintu masuk Masjidil Haram. Perasaan teruja tu semakin kuat. Perasaan ingin tahu, dan macam-macam perasaan lain lagi.

لَبَّيْكَ ٱللَّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ ٱلْحَمْدَ وَٱلنِّعْمَةَ لَكَ وَٱلْمُلْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ

Kami terus bertalbiyah dan meneruskan perjalanan kami ke pintu King Abdul Aziz dimana ianya merupakan pintu paling dekat dengan kedudukan Rukun Yamani. Memandangkan kedudukan hotel kami hanyalah lebih kurang 50 meter dari Masjidil Haram, maka tempoh perjalanan kami kesana tidaklah mengambil masa yang lama. Sampai di pintu masuk, kami membuka selipar yang dipakai dan memasukkannya ke dalam bag yang saya sediakan. Pastikan kasut bersih dari najis jika hendak bawa masuk bersama ke dalam masjid. Nak pula untuk di bawa bersama untuk melakukan tawaf. Kalau boleh, cuba elakkan untuk tinggal selipar korang di rak kasut di pintu masuk masjidil haram kerana dikhuatiri akan hilang.


Dalam perasaan yang cukup teruja, mata mula tercari-cari dimana kedudukan kaabah yang selama ni menjadi arah tujuan (kiblat) sembahyang seluruh umat islam di dunia. سُـبْـحَـانَ ٱلله !! Tiba-tiba dada rasa sebak, air mata mula nak mengalir. Kaabah yang saya cari ada di depan mata. Perasaan gembira ni memang tak boleh disorokkan lagi. ٱلْـحَـمْـدُ للهِ  !! Akhirnya aku disini menyahut seruan-MU. Tanpa melengahkan masa, kami teruskan dengan tawaf. Semasa hendak memulakan tawaf, bahu sebelah kanan dibuka dan tidak ditutupi dengan kain ihram (jemaah lelaki).

TAWAF UMRAH

Setelah mendapat isyarat dari mutawwif bertugas, kami telah memulakan tawaf umrah dengan 7 putaran, dimulai dari Hajar Aswad dan berakhir di Hajar Aswad. Disunnahkan untuk berlari-lari kecil pada 3 putaran pertama dan berjalan biasa pada 4 putaran terakhir.


Ketika berada di antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad, disunnahkan membaca,

رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Robbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhiroti hasanah wa qina ‘adzaban naar” (Ya Rabb, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta selamatkanlah kami dari seksaan api neraka). (Al Baqarah: 201)

Tidak ada zikir atau bacaan tertentu pada waktu tawaf, selain yang disebutkan seperti di atas. Dan seseorang yang sedang tawaf boleh membaca Al Qur’an atau do’a dan zikir yang dia sukai. Setelah selesai melakukan tawaf, tutuplah kedua bahu, lalu menuju ke makam Ibrahim sambil membaca,

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

“Wattakhodzu mim maqoomi ibroohiima musholla” (Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat) (Al Baqarah: 125).

Solat sunat tawaf dua raka’at di belakang Maqam Ibrahim, pada rakaat pertama setelah membaca surah Al Fatihah, baca surah Al Kaafirun dan pada raka’at kedua setelah membaca Al Fatihah, membaca surat Al Ikhlas. Setelah selesai menunaikan solat sunat, kita disunnahkan minum air zam-zam yang berada tidak jauh dari situ. Seperti biasa, minumlah air zam-zam dengan penuh adab dan cara yang betul supaya perbuatan kita itu tidak sia-sia sekadar menghilangkan dahaga sahaja. Ini kerana air zam-zam itu sendiri mempunyai banyak kelebihan dan boleh merawat pelbagai penyakit. إِنْ شَاءَ اللَّهُ

SAI'E UMRAH

Keadaan di Marwah

Tanpa melengahkan masa, kami terus menuju ke Bukit Safa untuk melaksanakan sai’e umrah. Sai'e ini adalah perbuatan tujuh kali perjalanan ulang-alik yang dimulai dari Bukit Safa’ dan berakhir di Bukit Marwah. Setelah telah mendekati Safa, terus membaca,

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

“Innash safaa wal marwata min sya’airillah” (Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah) (Al Baqarah: 158).

Menaiki bukit Safa, lalu menghadap ke arah Ka’bah hingga melihatnya (jika hal itu memungkinkan kita) , kemudian membaca:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِى وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Allah Mahabesar, Allah Mahabesar, Allah Mahabesar. (3x)

Tiada sembahan yang berhak disembah kecuali hanya Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya lah segala kerajaan dan segala pujian untuk-Nya. Dia yang menghidupkan dan yang mematikan. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.

Tiada sembahan yang berhak disembah kecuali hanya Allah semata-mata . Dialah yang telah melaksanakan janji-Nya, menolong hamba-Nya dan mengalahkan tentera sekutu dengan sendirian.”

Bacaan ini diulang tiga kali dan berdoa di antara pengulangan-pengulangan itu dengan do’a apa saja yang dikehendaki. Lalu turun dari Safa dan berjalan menuju ke Marwah.

Bagi jemaah lelaki, disunnahkan berlari-lari anak dengan cepat dan sungguh-sungguh di antara dua tanda lampu hijau yang berada di Mas’a (tempat sai’e), lalu berjalan biasa menuju Marwah dan menaikinya.


Setibanya di Marwah, kerjakanlah apa-apa yang dikerjakan di Safa, iaitu menghadap kiblat, bertakbir, membaca zikir dan berdo’a dengan do’a apa saja yang dikehendaki, perjalanan (dari Safa ke Marwah) dihitung satu kiraan.

Kemudian turunlah, lalu menuju ke Safa dengan berjalan di tempat yang ditentukan untuk berjalan dan berlari bagi lelaki di tempat yang ditentukan untuk berlari, lalu naik ke Safa dan lakukan seperti semula, dengan demikian sudah dikira dua kali larian.

Lakukanlah hal ini sampai tujuh kali dengan berakhir di Marwah. Ketika sai’e, tidak ada zikir-zikir tertentu, maka boleh berzikir, berdo’a, atau membaca bacaan-bacaan yang dikehendaki.

BERTAHALLUL

Setelah selesainya sai’e, maka kami telah bertahallul dengan memotong sekurang-kurangnya 3 helai rambut di kepala atau mencukur (membotakkan kepala), dan yang mencukur sehingga botak itulah yang lebih afdal. Adapun bagi wanita, cukup dengan memotong rambutnya sepanjang satu ruas jari. Kebiasaannya, bagi yang berniat untuk membotakkan kepala mereka akan melakukan selepas selesai umrah terakhir yang beliau ingin laksanakan semasa dalam tempoh beliau berada di Mekah.

Untuk bercukur, jemaah boleh ke kedai gunting rambut yang berada di bahagian bawah menara jam. Kos untuk cukur kepala pula ada lah 10 rial untuk seorang. Jika ada rezeki korang, ada yang ambil 15 rial untuk dua (2) kepala. Terlalu banyak kedai bercukur di dalam satu kawasan tersebut, pilihlah kedai yang ok seperti membasuh kepala dahulu sebelum bercukur untuk mengelakkan masalah luka-luka di kepala dan menyebabkan korang tidak selesa.

Setelah memotong atau mencukur rambut, maka berakhirlah ibadah umrah saya dan para jemaah lain dan kami telah dibolehkan untuk mengerjakan hal-hal yang tadinya dilarang ketika dalam keadaan ihram.   ٱلْـحَـمْـدُ للهِ  !! Selesai sudah Umrah wajib dan umrah pertama saya. Jam menunjukkan 1.30am dan kami semua diberi taklimat penutup oleh mutawwif sebelum balik untuk berehat di bilik masing-masing.

Bersama jemaah umrah yang lain sebelum ziarah luar dan umrah ke-2 kami

ٱلْـحَـمْـدُ للهِ  !! Seminggu kami berkampung disini saya dan jemaah lain berkesempatan melakukan 3 kali umrah. Pada umrah kedua, saya telah melakukan umrah badal khas untuk arwah ayahnda yang sudah tiada. Selainnya saya banyak melakukan tawaf sunat. Selalunya saya akan pergi ke masjid dalam pukul 2 pagi berseorangan atau dengan kawan-kawan jemaah yang ada. Waktu macam tu sangat best untuk melakukan tawaf kerana orang tak berapa ramai. Dapat pegang kaabah, makam Nabi Ibrahim, berdoa di bawah pancuran emas, cuma Hajarul Aswad sahaja takda rezeki. 
Ada je jemaah dari Indonesia datang offer untuk bantu kita ke Hajarul Aswad tapi AWAS !! Pertolongan bukan percuma dan bayaran yang diminta bukanlah sedikit. Kalau seratus dua rial boleh lagi, ada yang terkena sampai lebih dari itu. 
Jadi berhati-hatilah. Niat dan berdoalah bersungguh-sungguh pada Allah, إِنْ شَاءَ اللَّهُ urusan kita dipermudahkan .

BERDOA DI MULTAZAM 

Walaupun saya tidak berpeluang mengucup Hajarul Aswad, ٱلْـحَـمْـدُ للهِ !! Allah telah mempermudahkan urusan saya untuk berdoa di Multazam, dimana ianya merupakan salah satu tempat mustajab doa di Mekah selain Raudhah di Madinah.
Multazam adalah bagian dinding Kakbah di antara Hajar Aswad hingga pintu Kakbah, panjangnya 5 meter dan selalu ramai dipenuhi para jemaah.
Inilah tempat yang paling diburu jamaah haji dan umrah setelah mengerjakan tawaf. Saat sekeliling Ka’bah dipenuhi jemaah, tak mudah untuk mencapai Multazam. Setiap orang berlumba-lumba mencapai Multazam kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Antara rukun Hajar Aswad dan pintu Ka’bah terdapat Multazam. Tidak seorang pun hamba Allah SWT yang berdoa di tempat ini, kecuali dikabulkan doanya.”

Multazam adalah bagian dinding Kakbah di antara Hajar Aswad hingga pintu Kakbah

Specialnya tempat ini, Rasulullah SAW sempat mendekapkan wajah dan dadanya di Multazam sambil memanjatkan doa. Kisah itu tercantum dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud dan Ibnu Majah.

Berada di Multazam sungguh terasa sangat nikmat. Multazam bagai magnet yang menarik setiap jamaah yang telah menyelesaikan tawaf untuk mendekatinya. Rasanya tak nak sedikitpun berjauhan dari tempat yang mustajab ini. Tapi, disebabkan oleh gelombang jemaah yang berlumba-lumba mendekati Multazam membuat saya harus rela melepaskan dan meninggalkan tempat itu.  Peluang memanjat meletakkan kedua kaki di atas bahagian kaabah, meletakkan dada kiri dan pipi kiri di Kaabah adalah satu pengalaman yang cukup berharga dalam hidup saya. Hanya Allah yang tahu macamana perasaan saya ketika ini.



Adapun mengenai Multazam sebagai tempat mustajab untuk berdoa, namun tempat ini bukanlah satu-satunya tempat mustajab, dalam kitab Fadhaaillul Makkah, Hasan bin Yasar Al Bashri mengatakan, terdapat 15 tempat yang dinyatakan mustajab untuk berdoa yakni:
  1. Di dalam Kakbah;
  2. Ketika berada dekat dengan Hajar Aswad;
  3. Berada di dekat Rukun Yamani;
  4. Doa ketika dekat dengan Hijir Ismail;
  5. Ketika berada di belakang Makam Ibrahim;
  6. Ketika berada di Multazam;
  7. Saat berada di pintu sumur Zamzam;
  8. Di Sofa;
  9. Di Marwa;
  10. Di antara Sofa dan Marwa;
  11. Di antara Rukun Hajar Aswad dan Makam Ibrahim;
  12. Di Mina;
  13. Di Arafah;
  14. Di Masjidil Haram;
  15. Di Masjid Nabawi.
ZIARAH LUAR


Di Makkah, kami ziarah menaiki bas yang disewa oleh agency kami. Dibawanya kami melawat Arafah, Mina, Jabal Rahmah serta tempat-tempat bermiqat yang lain seperti Jaranah dan Hudaibiyah. Ramai peniaga-peniaga Arab di Jaranah dan Hudaibiyah dan semestinya harga lebih murah dari peniaga di dalam Safwa Tower.

Suasana pemandangan Jabal Thur


KEDAI MAKAN DI MEKAH


Soal makan di kota Mekah, korang tak perlu risau. Di tingkat 3 bangunan Menara Safwah ada food court dimana korang boleh dapat pelbagai jenis makanan termasuklah makanan nusantara kita. Memandangkan saya dah berada di sini, maka nasi arablah hari-hari kan. Kalau tanya kedai yang mana sedap nasi arab dia, saya akan suggest Sultan Restaurant ni.


Oleh kerana terlalu kerap ke sini, samapikan orang kat kedai ni dah kenal kami dan tahu apa yang kami nak oder. Kadang-kadang tu dapatlah extra itu ini. ٱلْـحَـمْـدُ للهِ !! Pelbagai jenis nasi arab korang boleh pilih termasuklah Kabsah, mandi dan sebagainya. Pilihan lauk pun boleh tahan, orang kenyang pun boleh lapar balik. haha. Tapi kami biasanya akan pilih separuh ayam seperti dalam gambar kat atas ni. Setiap kali makan kami akan tukar selera jenis nasi je. Harga untuk 3 orang makan dalam 24 rial je. Kalau nak lauk kambing mahallah sikit. Tapi berbaloi kot kalau makan ramai-ramai.


Tapi kalau nak makan masakan melayu nusantara kita, kat sebelah outlet ni ada Restoran D'Saji. Tapi saya tak makan di situ sebab harganya agak mahal sikit berbanding kedai lain. Sebagai contoh air Milo di D'Saji berharga 10 rial, di restoren sultan ni baru berharga 8 rial. Tepuk dada tanya selera. Buatlah pilihan yang terbaik untuk diri sendiri.



Untuk korang penggemar Starbuck, korang boleh ke menara jam tingkat satu berada di sebelah kiri dari escolator. Selain itu, korang juga boleh ke Macdonal, KFC, Burger King dan banyak lagi. Semuanya berada di bangunan sebelah kanan jika korang mengadap menara jam.


 ٱلْـحَـمْـدُ للهِ !! Sekali lagi pocket wifi travel recommends yang saya bawa saya berguna apabila dapat berkongsi internet bersama rakan jemaah lain bila berada di luar dari hotel. Kebanyakan dari jemaah tidak melanggan sim tempatan untuk tujuan komunikasi. Jadi perkongsian ni di harap dapat memberi manfaat kepada mereka ketika berada di luar kawasan wifi hotel.

Kalau korang nak buat tempahan , bolehlah guna romo code TRMAWARDI10 (entitled for RM 10 OFF any booking on https://www.travelrecommends.com/my . The expiry date is 31 Jan 2020.


ٱلْـحَـمْـدُ للهِ !! Kami bersyukur kepada-MU. Kerana permudahkan segala urusan kami sepanjang disini, dikurniakan kenalan yang cukup ramah dan hebat-hebat. Semoga perkenalan kita tidak hanya terhenti disini.


Untuk maklumat lanjut berkenaan pakej umrah, boleh terus berurusan dengan Ustaz Zulkifli Mohamed merangkap mutawwif Emraz Travel  di talian +6013 9398335.

Semoga artikel ini boleh memberi gambaran serba sedikit kepada korang yang baru pertama kali nak tunaikan umrah. Terima kasih kerana sudi membaca artikel Pengalaman Umrah Pertama (Mekah) saya. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada semua. Jangan lupa untuk baca kisah sebelum kami di Madinah boleh klik link di bawah.


Artikel ini ditulis mengikut pengalaman penulis semasa trip bertarikh 09 Oktober 2019 sehingga 19 Oktober 2019.

15 comments:

  1. alhamdulillah..beruntung dapat menjejakkan kaki kesana, mesti ia pengalaman yang tak dapat dilupakan kan
    semoga one day sy pun sampai ke sana inshaAllah..

    ReplyDelete
  2. Gigih baca tau, sebab teringin juga datang ke sini. Tengok gamabr Kaabah pun sebak, apa lagi tengok depan-depan..Makan ramai-ramai tu bestnya..namapk sedap menu dia

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah. seronoknya dapat tengok awak ke Mekah. semoga mek pun sampai juga di sini. rancang 5 tahun kerja nak buat umrah, tapi masih lagi tak sempat. allahu.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...doakan sy di sini juga ya...mg selamat kembali

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah rezeki dapat menjejakkan kaki ke sana menunaiman umrah. Doakan saya sekeluarga juga dapat menjejakkan kaki ke sana untuk tunaikan umrah di samping mencari pengalaman baru

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah, seronok baca pengalaman orang mengerjakan umrah dan haji ni. Terima kasih sudi berkongsi cerita. Semoga saya juga ada rezeki ke sana suatu hari nanti.

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah. Bila baca apa yang mawardi tulis, rasa seronok je. In shaa Allah impian ke sana masih ada dan diusahakan. Semoga kita semua ada rezeki untuk ke sana. :)

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah.. Madi berjaya melakukan umrah ... Doakan wawa pon dapat kesana suatu hari nanti ya. Satu perkongsian yg baik ini..terima kasih.

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah dapat merasa nikmat ke tanah suci. Tumpang seronok tengok orang yang dapat ke sana. InsyaAllah, semoga saya pula dapat ke sana nanti

    ReplyDelete
  10. Alhamdulilah Mawardi dah sampai. Doakan Rawlins pun akan diberikan rezeki untuk menziarah ke sana jua. Terima kasih atas perkongsian - terasa bahagia jua bila membacanya

    ReplyDelete
  11. Alhamdulillah, walaupun takde rezeki lagi nak pegi, baca ni rasa rindu tanah suci wlpn tak penah sampai sana. Thanks Mawardi sebab share :)

    ReplyDelete
  12. alhamdulillah semuanya berjalan lancar. selain beribadat boleh juga kita tengok budaya kat tanah suci. semoga ada peluang utk ke sana lagi

    ReplyDelete
  13. Seronoknya dapt menunaikan umrah. Peluang yg paling manis dlm hidup. Doakan satu hr akk dpt ke sini ya

    ReplyDelete
  14. Alhamdulillah... Beruntungnya abang dipilih menjadi tetamu Allah ke tanah suci Mekah. Doakan semoga saya juga dapat sampai ke sana suatu hari nanti ya. Amin...

    ReplyDelete
  15. Seronoknya lihat sahabat sahabat Menunaikan Umrah.
    Perkongsian yang detail dan pasti sangat bermanfaat, dan boleh dijadikan Panduan utk mereka yg pertama Kali akan Menunaikan umrah

    ReplyDelete