PERAYAAN HARI MOYANG LAUT; TRADISI & BUDAYA KAUM MAH MERI


Budaya dan warisan negeri Selangor merupakan salah satu daya tarikan pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara yang diketengahkan bagi mengekalkan sosiobudaya masyarakat di negeri Selangor yang unik. Negeri Selangor terdapat 74 buah perkampungan orang asli yang terdiri daripada suku kaum Mah Meri, Temuan dan Semai. Artikel kalini kita nak kongsikan mengenai keunikan budaya Kaum Mah Meri yang menjadi antara tarikan pelancongan negeri ini.

KEUNIKAN SUKU KAUM MAH MERI

Suku kaum Mah Meri yang dikenali dengan seni kraf ukiran topeng telah menetap di Pulau Carey, Negeri Selangor semenjak 300 tahun yang lalu dan kini terdiri daripada 5 buah perkampungan. Seni ukiran Topeng oleh suku kaum Mah Meri diibaratkan umpama nyawa mereka yang digunakan dalam pelbagai istiadat termasuklah penyembahan, merawat pesakit dan menolak bala.

Keunikan hasil seni ukir kaum Mah Meri yang berbentuk seperti dewa, manusia, tumbuh-tumbuhan serta haiwan telah mendapat pengiktirafan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) dan hasil seni yang dibeli dari kawasan ini memegang sijil ketulenan UNESCO yang tersendiri.

Selain hasil seni ketara (tangible arts) yang dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri, tradisi dan warisan yang dikira sebagai sebuah seni tidak ketara (intangible arts) yang sangat bernilai ini, memainkan peranan yang amat penting bagi industri pelancongan di negeri Selangor.

SAMBUTAN PERAYAAN HARI MOYANG LAUT


Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun selepas tahun baru Cina yang diadakan bertujuan bagi memohon perlindungan, pengampunan dan kesejahteraan kepada keluarga dan penduduk-penduduk di sekitar dengan memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baru. Perayaan yang berlangsung selama 5 hari ini melibatkan beberapa upacara seperti;
  1. Hari Pertama: Upacara perayaan Datuk Panglima Hitam
  2. Hari Kedua: Persiapan menghias Balai Moyang dengan seni anyaman
  3. Hari Ketiga: Upacara memanggil moyang dan tepung tawar
  4. Hari Keempat: Perarakan ke Sungai Teluk Tanjung bagi upacara Hari Jadi Moyang Laut dan menjamu makanan di Sangga untuk arwah roh Moyang di setiap rumah di Kampung Sungai Judah serta memohon restu di laut dan sungai di sekitar Pulau Carey
  5. Hari Kelima: Perarakan ke Pantai Bangkong bagi merayakan sambutan Perayaan Hari Moyang Laut dan persembahan tarian Jo’oh kepada para pengunjung
Keunikan suku kaum Mah Meri ini amat luas daripada segi warisan dan hasil seninya. Ini dapat dilihat dengan penghasilan warisan kraftangan seperti perhiasan-perhiasan yang digunakan serta dijual kepada para pelancong sepanjang perayaan Hari Moyang Laut yang telah dijalankan pada tahun ini.

Tourism Selangor menggalakkan orang awam terutamanya para pelancong serta pusat pendidikan untuk menyertai acara-acara seperti Perayaan Hari Moyang Laut bagi mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan warisan tempatan.

Para pengunjung boleh berhubung terus dengan Mah Meri Cultural Village di https://www.mmcv.org.my/ bagi mendapatkan informasi lanjut tentang lawatan ke perkampungan suku kaum Mah Meri di Pulau Carey.

Post a Comment

0 Comments