Cyber Eco Hunt 2022 Anjuran Alam Flora Di Kuantan

 

Pada 17 Jun 2022 yang lepas, aku dan rakan-rakan blogger yang lain berkesempatan untuk sertai program Cyber Eco Hunt (CEH) yang julung-julung kalinya dibuat di Kuantan Pahang. Untuk pengetahuan korang, Program CEH ni dah menjadi program tahunan yang memang ditunggu-tunggu oleh kami dan ianya dianjurkan oleh pihak Alam Flora.

OBJEKTIF CYBER ECO HUNT

Program ini diwujudkan adalah untuk menunjukkan komitmen Kumpulan Alam Flora dan sokongan berterusannya ke arah mencapai matlamat kerajaan untuk mengurangkan 40% sisa kitar semula yang dihantar ke tapak pelupusan, menjelang 2025. Mempromosikan kempen Alam Flora (Love Food Hate Wastage), perkhidmatan & kemudahan.

Ia juga adalah untuk memanfaatkan daripada rangkaian sosial KOL, Influencer & blogger untuk menyampaikan mesej dan mendapat kesedaran yang betul; Untuk mendidik orang ramai tentang pengurusan sisa kebun dengan cara yang betul.

AKTIVITI DALAM PROGRAM CYBER ECO HUNT


Aktiviti kami pada hari tersebut bermula seawal 7.30pm lagi iaitu sarapan pagi di McDonald's Teluk Cempedak. Sarapan pagi amat penting ya untuk membekalkan tenaga sebelum kita mulakan hari kita dengan kerja-kerja berat khususnya. Terima kasih McDonald's atas tajaan makan pagi kami. 

Selepas masing-masing selesai sarapan pagi, kami ke meja pendaftaran untuk berdaftar. Tepat jam 8.00am, Taklimat Keselamatan dan Taklimat Pertandingan diberikan sebelum ianya dirasmikan oleh Dato’ Mohd Zain Hassan iaitu selaku CEO Alam Flora Sdn Bhd.


Untuk aktiviti pertama, kami diberi tugasan untuk mencari bungkusan harta karun. Harta karun yang dimaksudkan adalah bungkusan yang mengandungi beberapa bahan yang boleh dikitar semula yang ditanam di dalam pasir pantai di sekitar Pantai Teluk Cempedak.


Untuk tugasan berikutnya, kami dipecahkan kepada dua kumpulan untuk melakukan aktiviti Sisa Kebun & Beach Comber secara bergilir-gilir.

1. Tatacara Pengurusan Sisa Kebun

Tugasan mengurus sisa kebun ni adalah penting untuk kita tahu bagaimana cara yang betul untuk kita menguruskan sisa kebun seperti pokok-pokok yang di tebang khususnya di sekitar rumah kita ataupun sisa pukal seperti perabut dan sebagainya.


Tatacara yang disarankan adalah seperti berikut: Potong dalam saiz yang pendek dan potong bahagian yang tajam dahulu, kemudian masukkan ke dalam beg plastik atau guni dan diikat rapi. Akhir sekali, letakkan bersebelahan tong yang disediakan bersama sisa pukal dan kitar semula yang lain dan tunggu lori Alam Flora datang ambil seminggu sekali mengikut jadual setiap lokasi.

2. Beach Comber

Selepas selesai dengan tugasan mengurus sisa kebun, kami ke pantai untuk melihat bagaimana pihak Alam Flora menggunakan jentera yang dinamakan "Beach Comber" untuk membantu membersihkan pasir di Pantai Teluk Cempedak ni.


"Beach Comber" adalah sejenis jentera sokongan yang digunakan untuk aktiviti pembersihan pantai. Ianya berfungsi dengan cara menapis pasir pantai dengan konsep gali dan sikat.

3. Penjualan Barangan Kitar Semula

Untuk tugasan berikutnya, kami dibawa ke checkpoint 2 iaitu Buy Back Centre Taman Gelora. Di sini, kami telah ditugaskan dengan 3 tugasan iaitu Penjualan Barangan Kitar Semula, Program Komuniti bersama 1S1T dan Makan Pagi dengan Mangkuk Tingkat.

Tugasan pertama disini adalah berkaitan dengan aktiviti pertama kami di Pantai Teluk Cempedak tadi. Barang-barang yang kami dapat tersebut perlu dijual untuk dikitar semula.


Setiap barang yang kami dapat di Pantai Teluk Cempedak tadi, kami kena asingkan mengikut kategori kertas, plastik dan lain-lain ke dalam kotak yang disediakan. Paling best, barangan kitar semula tersebut kami bawa kepada wakil Alam Flora untuk mereka timbang dan bayar mengikut harga jualan semasa yang telah ditetapkan.

Berikut merupakan harga barangan yang akan dibeli oleh pihak Alam Flora mengikut (Kg) dan unit. Selain barang-barang kat atas ni, minyak masak terpakai pun ada nilainya tau. Jadi, simpan minyak masak terpakai korang dan jual untuk dapat duit. Harganyapun boleh tahan juga mengikut (Kg).

4. Program Komuniti bersama 1S1T

Selesai jual barangan untuk di kitar semula, kami meneruskan tugasan berikutnya iaitu bersama dalam program 1 Supervisor 1 Transformation Area (1S1T) . Program 1S1T ini adalah inisiatif penyelia-penyelia Alam Flora untuk menambah baik kawasan perkhidmatan mereka, melangkaui bidang skop kerja hakiki mereka dan memberi manfaat kepada komuniti sekitar.


Tugasan kami adalah untuk membuat sentuhan terakhir dengan mengecat tayar-tayar terpakai yang telah diolah menjadi kuda dan angsa serta membantu Alam Flora menguar-uarkan usaha yang telah dibuat bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran yang sejahtera.

5. Makan Tengahari dengan Mangkuk Tingkat

Selepas semua selesai berseni mengecat tayar. Kami diberi tugasan untuk mencari mangkut tingkat untuk dibuat sebagai bekas makanan tengahari kami.


Tugasan ni mengajar kita supaya tidak membiasakan diri untuk tidak menggunakan 'single-use plastic'. Mangkuk tingkat ataupun 'tiffin' adalah pilihan yang lebih mesra alam kerana ianya boleh digunakan berulang kali.


Selain itu, pembaziran makanan juga adalah satu lagi tabiat yang harus dikikis. Pastikan anda menghabiskan makanan anda kerana sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah akan menghasilkan gas methane yang menyumbang kepada pemanasan global.

6. Jom Rawat Bumi

Selepas selesai makan, kami terus bertolak ke checkpoint terakhir iaitu di Buy Back Centre Bandar Kuantan. Di sini kami akan menyelesaikan tugasan terakhir dimana kami perlu mengenali dan menanam pokok herba tempatan.


Kat sini kami belajar bagaimana cara untuk menanam pokok herba dengan betul yang mana ia sebenarnya dapat memberi manfaat kepada komuniti sekitar dan mengurangkan pemanasan global.

Untuk pengetahuan korang, 'Buy Back Centre' Bandar Kuantan juga merupakan salah satu lokasi fasiliti belian barangan kitar semula oleh Alam Flora. Bagi korang yang berada di sekitar Bandar Kuantan, bolehlah datang ke sini untuk jual barang yang boleh di kitar semula tu.

Separuh hari bersama kawan-kawan dalam program Cyber Eco Hunt 2022 Anjuran Alam Flora Di Kuantan ni sebenarnya memberi banyak ilmu dalam memperbaiki diri untuk merawat bumi kita. Hal yang paling penting adalah kesedaran dalam diri sendiri. Bermula dari sekarang, ianya masih belum terlambat.

Post a Comment

0 Comments