[BERITA] Banjir Lumpur Di Cameron Highlands | Tiga maut akibat perlepasan air empangan Cameron Highlands

Banjir Lumpur Di Cameron Highlands | Tiga maut akibat perlepasan air empangan Cameron Highlands | Air yang dilepaskan daripada empangan janakuasa elektrik Sultan Abu Bakar selepas siren amaran dibunyikan sama ada didengari atau tidak dipedulikan telah menyebabkan kematian dan kemusnahan di Lembah Bertam.

KUALA LUMPUR: Tiga terbunuh dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet di sini awal hari ini.

Dua mangsa lemas manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung, menurut laporanBernama.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki cedera.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu dipetik berkata arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.

Dua yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh dikenali sebagai Jahangir, 30-an, dan wanita Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kesmat, 46. Satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah dan satu lagi di bawah runtuhan rumah yang lain.

Lelaki yang mati akibat serangan jantung ialah Tan Tuck Choi, 51. Mangsa mati dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Kalsom di sini, awal pagi ini.

Mohd Zahari berkata mangsa yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dikenali sebagai Jarwati, 17, manakala lelaki yang cedera Ho Kim Way, 38, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Ho cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu," katanya. Kawasan yang terlibat dalam kejadian itu menempatkan rumah penduduk dan rumah setinggan berhampiran kebun sayur. Berikutan kejadian itu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam ditutup hari ini.

Terdahulu Mohd Zahari berkata air empangan di Ringlet itu terpaksa dilepaskan bagi mengelak empangan itu pecah berikutan hujan lebat yang berterusan sejak 7 petang semalam.

Pelepasan air empangan pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan mengakibatkan banjir kilat.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, seramai 54 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai Ringlet.

Sementara itu Timbalan Penguasa Balai Bomba Zon 3 Pahang Yusmaizi Zulkifli berkata paras air normal di empangan itu ialah 3.498 meter dan pelepasan air dilakukan ketika paras air mencecah 3.508 meter.

Tinjauan hari ini mendapati cuaca panas sehingga tengah hari bagaimana hujan renyai mula turun pada sebelah petang.

Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G.Palanivel turut melawat kawasan kejadian dan memaklumkan bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.


Sumber: AstroAwani

Post a Comment

1 Comments