Berpuluh Unit Bangau Perahu Lama Di Pamerkan Di Terrapuri Heritage Village Setiu

Bangau Perahu

Berpuluh Unit Bangau Perahu Lama Di Pamerkan Di Terrapuri Heritage Village Setiu | Pada 6 ogos yang lepas, saya dan beberapa pengamal media digital dari Kuala Lumpur berkesempatan menghadiri majlis Caritra Langkasuka yang mana ianya merupakan sebuah majlis tertutup yang mengangkat seni dan produk budaya di Pantai Timur.

Selain dari persembahan budaya yang cukup menarik, sedang berlansung juga "Pameran Bangau Perahu" (Floating Art Of Langkasuka Exhibition) yang mana ada memamerkan 50 unit Bangau Perahu lama yang bernilai mencecah puluhan ribu ringgit.


Untuk pengetahuan korang, bangau-bangau perahu lama ini merupakan koleksi artifak yang dimiliki oleh Alex Lee Yun Ping iaitu pemilik kepada Terrapuri Heritage Village Setiu.

BANGAU PERAHU

Seperti yang kita ketahui, nelayan pada zaman dahulu kala menggunakan pelbagai jenis perahu seperti perahu payang, perahu buatan barat, perahu kolek dan pelbagai jenis perahu lagi. Apa yang menariknya, perahu-perahu ini ada memiliki perhiasan yang dikenali ‘bangau’.

Kenapa ia digelar sebagai  ‘bangau’, ini kerana rekaannya yang menyerupai leher dan kepala burung bangau. Bentuk bangau ini telah melalui banyak variasi pada saiz dan motif ukirannya; dan bentuk bangau ini juga akan disesuaikan mengikut jenis perahu tersebut yang nelayan ada.

Hakikatnya pada masa kini, agak susah untuk kita lihat bangau ini pada perahu nelayan disebabkan peralihan kepada penggunaan perahu moden yang menggunakan gentian kaca dan penglibatan nelayan laut pantai yang semakin berkurang. Kalau ada pun, korang boleh lihat di beberapa kampung nelayan di Kelantan yang masih lagi menggunakan perahu tradisional seperti di Pulau Gajah, dan Pantai Senak Kelantan.

Bangau Perahu

CIRI-CIRI DAN FUNGSI BANGAU

Untuk pengetahuan korang, kedudukan bangau adalah di bahagian hadapan perahu dan berada di sebelah kiri perahu. Bangau ini dipasang di belakang caping dengan sedikit condong ke arah haluan perahu disebabkan badan perahu yang lebih tinggi di bahagian haluan perahu.


Bangau ini dibentuk pada sekeping kayu bersama dengan okok (anak bangau). Bangau diukir pada kedua-dua permukaan kayu dengan ukiran tebuk tembus dan silatan. Kebiasaannya ukiran pada permukaan yang menghadap ke arah dalam lebih halus dan lengkap berbanding ukiran dipermukaan yang menghadap laut. Kebiasaannya bangau akan diukir dengan motif yang sama pada kedua-dua permukaan depan dan belakang, tapi ada juga sebilangan bangau yang diukir dengan dua motif yang berbeza. Bangau diwarnakan dengan warna-warna yang terang  seperti warna merah, kuning, hijau dan putih.


Fungsi utama bangau adalah sebagai penyangga tiang layar dan galah panjang yang digunakan oleh nelayan ketika bekerja di laut. Tiang layar dan galah yang nelayan tidak guna semasa bekerja akan diletakkan di antara bangau dan caping. Ini adalah untuk mengelakkan dari kayu tersebut bergerak dan jatuh ke dalam laut semasa perahu berhayun ketika dipukul ombak.

Menurut Nik Hassan Shuhaimi (2010), bangau merupakan simbolisme bagi nelayan yang mencari rezeki di laut. Ia juga dikaitkan dengan kelebihan dan kehandalan yang dimiliki oleh burung bangau yang boleh melihat dan meramal kawasan yang mempunyai banyak ikan. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa fungsi bangau ini juga adalah untuk menjinakkan laut yang ganas dan menjaga keselamatan nelayan ketika belayar di laut.

Antara bentuk-bentuk bangau yang banyak digunakan oleh nelayan pada masa dahulu adalah seperti burung, kepala naga, watak wayang kulit, ikan, dan sebagainya lagi.

Penemuan bangau yang berbentuk seperti makara, burung dan watak wayang kulit hanya memperlihatkan daripada kepercayaan lama yang bergantung harap kepada kuasa lain. Tidak dinafikan bahawa reka bentuk ini mempunyai perkaitan dengan kepercayaan agama yang dianuti oleh masyarakat Melayu sejak bermula peradaban di tanah Melayu lagi. Kepercayaan kepada semangat dan kuasa luar yang mengawal ini adalah dari kepercayaan animisme mereka pada waktu itu.

Selepas sahaja agama Islam disebarkan di kawasan tanah Melayu ini, budaya dan kepercayaan lama ini semakin menghilang mengikut kesesuaian kepercayaan kita. Penggunaan perahu moden yang ringkas dan menggunakan teknologi moden kini juga mempercepatkan lagi proses peralihan ini. Malah ia juga menjadi antara sebab mempengaruhi warisan seni Melayu yang kita warisi sejak sekian lama ini makin menghilang. 

Walau bagaimana pun, saya yakin bahawa penerimaan masyarakat sekarang pada bentuk bangau yang sedia ada adalah hanya sebagai salah satu objek budaya dan bukan sebagai objek ritual.


Bagi korang yang berminat untuk melihat sendiri bagaimana keunikan bangau perahu lama ini, korang dijemput ke Floating Art Of Langkasuka Exhibition (Bangau Perahu) @ Terrapuri pada tarikh 3 - 13 August 2022. Yuran masuk hanyalah RM35 sahaja.

Sekiranya korang memerlukan bantuan lanjut mengenai pameran ni, terus whatsapp no tertera di bawah:

09-6245020 (Office)


Post a Comment

1 Comments

  1. Cantiknyaa ukiran sampan dia, ni kalau di jaga, akan sampai lama laa kan, boleh di lihat anak cucu...

    ReplyDelete