RINGKASAN JANGKITAN NOVEL CORONAVIRUS 2019 nCoV YANG PERLU SEMUA AMBIL TAHU

Seperti yang kita sedia maklum, sekarang sedang heboh dengan isu penyebaran wabak Novel Coronavirus 2019 nCoV yang merbahaya yang dipercayai berasal dari Wuhan, China. Bermacam-macam spekulasi dan andaian telah dibuat dek kerana takut akan virus yang dikatakan tidak mempunyai ubat ini setakat ini.

credit photo www.fda.gov
nCoV bermakna 'novel Coronavirus' dan CoV bermakna Coronavirus. 'Novel Virus' bermakna virus yang tidak pernah kita temui sebelum ini (emergent) atau berkembang dari keluarga yang sama tetapi dalam bentuk yang baru (extant).
Gejala & Cara Jangkitan Novel Coronavirus 2019 nCoV

Sehingga kini cara jangkitan 2019 nCoV masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

Terdapat kemungkinan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain (human-to-human transmission). Namun siasatan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai pihak yang terlibat masih tidak dapat memberikan jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenalpasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus tersebut menular kepada manusia.

Langkah-Langkah Melindungi Diri Dari Jangkitan Novel Coronavirus 2019 nCoV

Novel Coronavirus 2019 nCoV

KKM juga ingin menyarankan kepada orang ramai yang bercadang mengunjungi negara China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan. Orang ramai khususnya para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
  • Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
  • Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu semasa dalam tempoh lawatan;
  • Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan;
  • Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan semasa dalam tempoh lawatan; dan
  • Elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna semasa dalam tempoh lawatan.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Sila maklumkan sejarah perjalanan anda kepada doktor yang merawat bagi memastikan pengesanan awal jangkitan 2019-nCoV.

Itulah sedikit sebanyak info berkenaan NOVEL CORONAVIRUS 2019 nCoV yang boleh saya kongsikan. Semoga kita semua dijauhkan dan dipelihara dari perkara-perkara yang tidak diingini. Patuhi arahan yang diberikan dan elakkan dari menyebarkan berita-berita tak pasti demi kesejahteraan bersama.

Post a Comment

0 Comments